KERAJAAN MADANI membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen yang berminat untuk mengadakan perbincangan dan menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) susulan pemeteraian persefahaman itu bersama 13 Ahli Parlimen di Parlimen, semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menyifatkan pemeteraian CSA berkenaan sebagai perkembangan positif kepada kestabilan politik negara, selain mencerminkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan agenda reformasi institusi.
“Pemeteraian MoU atau CSA ini tidak terbatas kepada 13 Ahli Parlimen berkenaan sahaja. Ia terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk datang, berbincang dan menandatangani CSA ini. Pintu perbincangan itu kekal terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Kerajaan MADANI semalam memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen yang terdiri daripada enam wakil rakyat Bersatu, enam Ahli Parlimen Bebas dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Persefahaman itu antara lain bertujuan mendapatkan sokongan terhadap Belanjawan 2027 serta memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Antara perkara reformasi institusi yang terkandung dalam perjanjian itu termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Perjanjian itu turut menyentuh pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang setara kepada Ahli Parlimen terbabit.
Menjawab soalan bertulis mengenai mekanisme bagi memantau pelaksanaan reformasi yang dipersetujui serta tindakan sekiranya kerajaan gagal menunaikan komitmen berkenaan, Fahmi berkata, pendekatan penilaian bersama seperti yang pernah dilaksanakan menerusi CSA pada 2021 hingga 2022 boleh dipertimbangkan.
“Daripada segi mekanisme yang dibangunkan sewaktu CSA 2021-2022, memang ada penilaian bersama (joint assessment) daripada kedua-dua pihak bagi mengesahkan perkara yang dijanjikan itu dilaksanakan.
“Kita lihat itu mungkin satu cara untuk dilaksanakan, sama seperti yang pernah kita saksikan dahulu.
“Kerajaan berhasrat melaksanakan apa yang telah dijanjikan dalam CSA dan perkara ini amat penting, terutama membabitkan aspek reformasi institusi. Kita berharap dengan sokongan padu yang diterima, ia dapat dilaksanakan,” katanya.





