POLIS menahan empat lagi individu yang dipercayai membeli sijil cuti sakit (MC) tidak sah bagi membantu siasatan kes sindiket jual beli dokumen berkenaan di daerah Pekan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan di sekitar daerah Pekan, kelmarin.
Beliau berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah individu yang ditahan setakat ini seramai sembilan orang.
“Kesemua mereka dipercayai pembeli MC yang disyaki tidak sah dan polis akan mengambil keterangan daripada mereka bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Polis Pahang di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Pekan, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi tujuan menipu serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sebelum ini, media melaporkan lima individu berusia antara 30 hingga 55 tahun direman bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan jual beli MC yang disyaki tidak sah.
Mereka terdiri daripada tiga individu yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah, seorang penjawat awam yang juga jururawat di sebuah klinik kerajaan serta seorang individu yang disyaki mendapatkan dan menggunakan MC berkenaan.
Kes terbabit terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah Pekan menerima maklumat pada 12 Mei lalu mengenai kegiatan penjualan MC yang didakwa berlaku dalam kalangan pekerja sebuah kilang di daerah itu.
Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menjalankan operasi pada 15 Jun lalu sebelum menahan lima suspek di beberapa lokasi sekitar Pekan.
Hasil semakan mendapati MC yang digunakan memaparkan nama dan cop seorang pegawai perubatan yang telah bertukar tempat bertugas sejak tahun 2023.
Siasatan lanjut turut mendapati nombor siri MC berkenaan adalah sebahagian daripada buku MC rasmi yang telah diedarkan kepada sebuah klinik kerajaan di daerah itu.
Polis percaya sijil cuti sakit terbabit dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping melalui beberapa individu yang berperanan sebagai orang tengah bagi mendapatkan pelanggan.






