SEORANG mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap dua cucu tirinya yang masing-masing berusia tujuh tahun dalam kejadian berasingan di Bagan Datuk.
Tertuduh berusia 57 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaifuddin, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai datuk tiri didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun kira-kira jam 12.30 tengah hari di bilik utama sebuah rumah di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada 6 Jun lalu.
Bagi pertuduhan lain, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi cucu tirinya yang juga berusia tujuh tahun di lokasi sama pada penghujung tahun lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(b) dan Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, selain bagi pertuduhan tertentu boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebagai hukuman tambahan, tertuduh juga boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan dan Anisah Pisol, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta mendapatkan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Ogos depan.






