DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 26 notis kompaun dalam Tindakan Khas Premis (Restoran dan Kelab Hiburan) Siri 7/2026 yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara bermula tengah malam semalam.
Operasi penguatkuasaan bermula jam 12 tengah malam itu dilaksanakan di sekitar Jalan Pasar Pudu, Jalan Solaris Mont Kiara, Jalan Duta Mas dan Jalan Manjalara.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu membabitkan pemeriksaan serta siasatan terhadap enam premis perniagaan yang menjalankan aktiviti pusat hiburan dan kelab termasuk pub dan restoran tanpa lesen serta melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Jelas DBKL, pemeriksaan turut melibatkan aspek kebersihan premis dan pematuhan pengendali makanan oleh pegawai kesihatan DBKL.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, DBKL mengeluarkan 26 notis kompaun di atas pelbagai kesalahan melibatkan kesalahan tidak mempamerkan lesen perniagaan, melantik pembantu warga asing tanpa kebenaran, premis tiada perangkap minyak serta perniagaan selain dari lesen dimiliki.
“Selain itu, turut dikesan pengendali premis tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, bahan makanan diletakkan diatas lantai dan premis tiada lesen papan tanda iklan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
DBKL memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan dan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.






