Dialog antara tamadun mampu kukuhkan persefahaman dan keamanan – PM

DIALOG antara tamadun perlu dilihat sebagai platform untuk membina persefahaman, mencari persamaan dan mengukuhkan keamanan, bukan sekadar ruang membincangkan sejarah, budaya atau warisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu semakin penting dalam menghadapi dunia yang kini berdepan pelbagai cabaran, termasuk konflik, krisis, polarisasi serta politik berasaskan identiti.

Beliau berkata, dialog antara tamadun dapat membuka ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk memahami antara satu sama lain, selain mengenal pasti nilai bersama yang boleh menjadi asas kepada kehidupan yang lebih harmoni.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Malaysia Global Civilizational Initiative Summit cum Islam-Confucian Civilizational Cultural Festival 2026 (MGCIS-ICCCF 2026) di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) hari ini.

Menurut Anwar, dialog antara Islam dan Confucianisme berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan dua tradisi intelektual dan kebudayaan, sekali gus menyediakan ruang untuk perkongsian pandangan mengenai masa depan bersama.

“Dialog antara tamadun bukan bertujuan menghapuskan identiti, sebaliknya membolehkan setiap tradisi berinteraksi, mencari persefahaman dan menyumbang kebijaksanaan demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan prinsip “harmony without uniformity” atau keharmonian tanpa keseragaman sebagai pendekatan dalam membina hubungan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, nilai seperti ta’aruf, rahmah, keadilan dan kesederhanaan dalam tradisi Islam mempunyai persamaan dengan konsep ren atau kemanusiaan dalam tradisi Confucian.

Malaysia, katanya, turut mempunyai pengalaman panjang dalam mempromosikan dialog antara tamadun, antaranya menerusi seminar berkaitan Islam dan Confucianisme serta Dialog Kepimpinan Islam-Confucian pada 2023.

Penganjuran festival kebudayaan bersempena program berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai mendekati kepelbagaian tamadun melalui elemen seni, kraf, kaligrafi, makanan dan tradisi.

Menurut Perdana Menteri, pengalaman Malaysia yang terbentuk hasil pertembungan pelbagai tamadun, budaya dan agama turut meletakkan negara ini pada kedudukan yang penting dalam usaha memperkukuh persefahaman masyarakat di peringkat antarabangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here