Dibayar RM9,000 satu perjalanan, keldai dadah cuba bawa ganja RM3.2 juta ke London ditahan

SEORANG lelaki tempatan yang dipercayai menjadi penghantar dadah dengan upah RM9,000 bagi setiap perjalanan ditahan ketika cuba menyeludup 40 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3.2 juta ke London.

Lelaki berusia 28 tahun berasal dari Miri, Sarawak itu ditahan kira-kira jam 5 petang pada 18 Oktober lalu ketika berada di ruang menunggu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pemeriksaan terhadap bagasi milik suspek menemukan dadah berkenaan yang dipercayai untuk dibawa ke London.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa diarahkan seorang individu untuk membawa bahan terlarang itu ke luar negara.

“Suspek dipercayai baru kali pertama terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah melalui udara rentas sempadan.

“Dia dipercayai bertindak sebagai penghantar dengan mendapat upah RM9,000 bagi satu perjalanan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georgetown hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki yang tidak bekerja itu positif amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dia mempunyai dua rekod berkaitan jenayah.

Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga China dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jelutong semalam serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM1.05 juta.

Dennis berkata, serbuan kira-kira jam 7 malam itu bermula dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di hadapan lif pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap lelaki itu menemukan satu peket ketamin seberat 1.3 gram (g) sebelum polis menahan seorang wanita warga China berusia 40 tahun di tingkat 10 bangunan sama.

Wanita itu dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah.

“Pemeriksaan di dalam sebuah bilik menemukan 7kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), pil eramin 5 (35g), ketamin (20g) dan 0.015 liter cecair syabu.

“Polis turut merampas peralatan untuk membungkus semula MDMA, penimbang digital serta bahan pembungkusan,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan dipercayai bertanggungjawab membungkus MDMA sebelum menjualnya kepada pelanggan yang datang mendapatkan bekalan di pangsapuri itu.

Dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada rangkaian pengedaran sebelum dijual kepada pelanggan.

Polis turut menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 44 tahun di hadapan pangsapuri itu yang dipercayai datang untuk membeli dadah.

Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif ketamin, manakala seorang lagi positif ganja.

Semakan rekod lampau pula mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan narkotik.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here