
KETIKA menganjurkan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025, saya bertemu dengan ramai pengunjung bergelar pendidik. Sama ada mereka ini bertugas di sekolah, mahupun di peringkat jabatan dan kementerian.
Mereka meluahkan kebimbangan terhadap beberapa isu yang berlaku dalam dunia pendidikan.
Antara isu itu ialah sikap ibu-bapa yang sangat memualkan anak-anak, pekeliling yang menyekat aktiviti pergerakan guru dan murid, isu dana tidak cukup hinggalah soal jatidiri pelajar yang semakin lemah akibat kekangan pembelajaran di sekolah, mahupun luar bilik darjah.
Mereka bercakap atas kapasiti peribadi, bukannya mewakili organisasi atau jabatan atau Kementerian Pendidikan Malaysia.
Secara jujur, sebagai bekas cikgu, saya memahami dan mengakui semua perkara tersebut sedang berlaku. Namun saya lebih melihat apakah yang akan terjadi kepada generasi sekarang jika kita gagal menyediakan sistem pembelajaran yang benar-benar berkesan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (IREJ yang terkandung dalam falsafah pendidikan negara).
Akibat kekangan-kekangan yang ada, pihak sekolah semakin sukar untuk melaksanakan pembelajaran terutama aktiviti di luar sekolah kerana mereka mengambil kira risiko yang tinggi dan kecaman ibu bapa jika berlaku sebarang masalah.
Pihak jabatan pula terus dibelenggu dengan dilema antara mahu memenuhi tuntutan pendidikan dengan arahan dan pekeliling bertali arus yang mesti diurus dengan berhati-hati.
Ketika melawat kompleks warisan kami dan kampung-kampung sekeliling yang mempunyai pelbagai kegiatan ekonomi seperti pelancongan, pertanian, perikanan, proses makanan dan kraftangan, golongan pendidik ini beranggapan kampung ini sesuai untuk memberi pendedahan kepada pelajar .
Namun risiko yang semakin meresahkan golongan pendidik menjadikan mereka mengelak untuk membawa pelajar keluar dari sekolah.

Maka teringat saya video ucapan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang saya saksikan beberapa hari lalu. Beliau bercakap mengenai pembelajaran luar kelas yang sangat diperlukan oleh generasi zaman gajet, handphone dan digital Singapura masa kini.
Menurut Lawrence, golongan pelajar sekolah masa kini perlu dibawa keluar daripada dominasi gajet supaya mereka lebih seimbang dari segi emosi, rohani dan jasmani melalui interaksi alam dan manusia.
Bayangkan sebuah negara seperti Singapura yang sumber semulajadinya terhad pun menekankan keperluan generasi muda keluar daripada persekitaran yang terkongkong iaitu di luar bilik darjah.
Melihat gaya Lawrence, saya dapati beliau jauh lebih tenang dan rasional apabila bercakap tentang pendidikan negaranya. Tidak seperti di Malaysia, pemimpinnya bercakap depan pelajar pun mengalahkan parti pembangkang bertekak di Parlimen. S
Soal keperluan camping sekolah bertukar menjadi cercaan kepada parti lawan. Menteri yang tidak berpengalaman pula bercakap macam mahu marah.
Jika sindrom sekolah terhalang begitu teruk dengan kekangan sikap ibu bapa yang memualkan anak-anak dan arahan tidak matang menjadi-jadi hingga ‘jem’ (terbantut) kerja dalam pendidikan, bersedialah kita untuk melihat kesan buruk kepada generasi baru yang tidak menguasai pembelajaran, lemah jatidiri dan ‘lembik’ untuk menjalani kehidupan lebih mencabar pada masa depan. Maka tunggulah saat yang amat menyedihkan akan menimpa golongan itu.
Justeru semua pihak iaitu pendidik, ibu bapa, jabatan dan Kementerian Pendidikan, swasta dan mereka yang berkaitan perlu duduk semeja untuk lebih berdamai, saling memahami serta berkongsi tanggungjawab untuk memperbetulkan krisis yang semakin melebar dan merosakkan masa depan generasi muda hari ini.
Semuanya kerana kita gagal untuk bersama-sama memahami dan memikul tanggungjawab dalam mendidik anak-anak hari ini.
Sebagai pendidik, bapa, usahawan, aktivis sosial dan majikan saya memilih untuk menawarkan kemudahan dan kepakaran pada bila-bila masa. Tiada istilah retorik dan sekadar mengkritik, Jadilah Man Of Action!
*Penulis ada usahawan dan aktivis sosioekonomi.
UNDILAH |



