Dua anggota PGA7 cedera dilanggar tekong darat bawa enam PATI

DUA anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan dipercayai dipandu tekong darat yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan ketika membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI), Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku di Kampung Chat, Tumpat ketika dua anggota berpangkat Lans Koperal terbabit sedang menjalankan rondaan sempena Ops Taring Wawasan Kelantan.

Salah seorang anggota, Hilmi, 34, berkata, mereka mengesan sebuah Proton Preve dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

Katanya, arahan berkenaan tidak diendahkan sebelum anggota terbabit cuba menghalang kenderaan itu menggunakan kenderaan jabatan.

“Saya dan rakan setugas membuka pintu kereta di sebelah pemandu, tiba-tiba kenderaan itu dipecut secara mengundur.

“Kejadian itu menyebabkan kami terjatuh ketika kereta mengundur dan mengalami kecederaan ringan pada kepala, lengan, lutut dan betis,” katanya ketika ditemui di Martek Pengkalan Kubor, hari ini, lapor BH.

Hilmi berkata, berlaku pergelutan ketika mereka cuba menahan pemandu Proton Preve terbabit sebelum suspek berusia 34 tahun itu berjaya ditahan.

Pemeriksaan dalam kenderaan kemudian menemukan enam wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 25 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Difahamkan, semua PATI berkenaan memasuki negara ini melalui Sungai Golok sebelum merentas hingga ke Sungai Kelantan menggunakan bot.

Ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit pula didapati positif methamphetamine dan semakan mendapati dia mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah serta jenayah, termasuk rogol dan keganasan rumah tangga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, seorang lagi anggota, Zaidi, 29, mengalami luka di kepala akibat terhantuk di jalan ketika kenderaan suspek diundur secara tiba-tiba sehingga terpaksa menerima dua jahitan.

Zaidi yang sudah tujuh tahun berkhidmat dalam pasukan itu berkata, kejadian seumpama itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, dengan kejadian terbaru kira-kira tiga bulan lalu ketika operasi menangkap PATI di Jeli.

“Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat menjaga sempadan negara agar tidak dibolosi PATI,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here