MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) mewajibkan semua pengusaha dewan makan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Mara yang mendapat kontrak daripada agensi itu mengutamakan pembelian bahan mentah daripada usahawan Bumiputera.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar baharu itu membabitkan bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan makanan di dewan makan terbabit.
Katanya, ia termasuk keperluan seperti ayam, ikan, kicap, sos dan barangan berkaitan.
“Mara meluluskan dasar baharu, semua pengusaha dewan makan MRSM, Kolej Mara mendapat kontrak Mara wajib mengutamakan barang mentah seperti ayam, ikan, kicap, sos dan lain-lain hanya daripada usahawan Bumiputera,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, aduan berkaitan kualiti makanan di dewan selera MRSM kini semakin berkurangan selepas tindakan tegas diambil bagi memecahkan kumpulan kartel yang didakwa menguasai kontrak makanan institusi berkenaan.
Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, usaha itu dilakukan termasuk menerusi pemeriksaan mengejut atau ‘terjah’ ke MRSM selepas menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar sejak beliau diberikan amanah menerajui agensi itu tiga tahun lalu.
Mengulas dasar baharu itu, beliau berkata, ia membabitkan semua pengusaha dewan makan MRSM dan Kolej Mara di seluruh negara yang menerima kontrak daripada agensi itu.
Katanya, nilai kontrak bagi setiap MRSM secara purata antara RM7 juta hingga RM9 juta untuk tempoh dua tahun.




