DAP hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen dan seterusnya menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan itu secara kekal.
Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, pemimpin parti itu berulang kali menyampaikan kepada Perdana Menteri mengenai janji Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan semua Ahli Parlimen menerima peruntukan yang sama.
Beliau menegaskan bahawa DAP komited untuk melaksanakan janji tersebut seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH.
“Hal ini berasaskan prinsip bahawa tindakan menahan peruntukan yang saksama menjejaskan mandat demokratik wakil rakyat yang dipilih, dan pengundi di mana-mana kawasan Parlimen tidak sepatutnya didiskriminasi hanya disebabkan oleh pilihan atau pegangan politik mereka.
“Oleh itu, saya menggesa Perdana Menteri untuk mengatasi kelewatan ini dan mengambil langkah ke hadapan dengan menyediakan peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen terlebih dahulu dan seterusnya menggubal undang-undang yang menjamin peruntukan kawasan yang saksama secara kekal bagi setiap Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind turut menyambut baik tambahan RM1 juta peruntukan untuk kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara diumumkan Anwar baru-baru ini, namun menegaskan bahawa langkah tersebut masih belum menyelesaikan isu utama.
Beliau berkata, undang-undang yang mewajibkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen akan menghapuskan unsur budi bicara politik dalam pengagihan peruntukan pembangunan kawasan serta melindungi hak pengundi di seluruh negara.
DAP semalam memberikan Anwar tempoh sehingga akhir tahun untuk melaksanakan beberapa reformasi, termasuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri selepas DAP memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, asas bagi sebahagian reformasi tersebut sebenarnya sudah tersedia, termasuk rang undang-undang yang telah disediakan serta kenyataan menteri yang telah dibentangkan di Parlimen.
Dua minggu lalu, kumpulan masyarakat sivil Projek Sama turut menggesa PH, yang menerajui kerajaan persekutuan, menggubal undang-undang bagi menjamin peruntukan pembangunan kawasan yang sama kepada semua wakil rakyat yang dipilih.
Kumpulan itu berkata, kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya meyakinkan PH bahawa undang-undang berkaitan peruntukan sama rata adalah demi kepentingan jangka panjang gabungan tersebut.





