Dua cadangan SPRM diterima ASEAN-PAC, perkukuh kerjasama antirasuah serantau

DUA cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh kerjasama antirasuah antara negara anggota ASEAN mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Prinsipal ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-22 yang berlangsung di Myanmar.

Cadangan itu merangkumi penggunaan templat standard bagi Kompilasi Amalan Terbaik Pelaksanaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) serta menjadikan lagu ‘Together Against Corruption‘ sebagai lagu rasmi ASEAN-PAC.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua cadangan berkenaan diperkenalkan ketika Mesyuarat Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 di Melaka pada Julai lalu sebelum mendapat pengesahan dalam mesyuarat prinsipal berkenaan.

Menurutnya, penggunaan templat standard itu bertujuan menyeragamkan perkongsian amalan terbaik pelaksanaan UNCAC dalam kalangan agensi antirasuah negara anggota.

Sementara itu, lagu ‘Together Against Corruption‘ akan dimainkan dalam mesyuarat dan acara rasmi ASEAN-PAC pada masa hadapan.

“Persetujuan terhadap kedua-dua cadangan berkenaan mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau serta memantapkan ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama antirasuah dalam kalangan negara anggota,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang berlangsung pada 10 hingga 11 November di Nay Pyi Taw, Myanmar itu bertemakan ‘Upholding Youth Integrity: Building a Corruption-Free Future‘ dan menghimpunkan ketua serta wakil agensi antirasuah negara anggota ASEAN.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman turut menyampaikan ucapan dalam mesyuarat berkenaan selaku Pengerusi ASEAN-PAC bagi penggal kepengerusian Malaysia dari Oktober 2025 hingga Julai 2026, sebelum tanggungjawab itu diserahkan kepada Myanmar.

Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan SPRM membentangkan laporan aktiviti sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia, termasuk pelbagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan agensi antirasuah serantau.

Menerusi pembentangan negara, Malaysia turut berkongsi pendekatan memperkasakan integriti golongan belia melalui pendidikan serta penglibatan pelbagai pihak.

Antara inisiatif yang diketengahkan adalah Wira Anti Rasuah (WAR), Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR), Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR), Kor SUAR serta platform pembelajaran digital MACCAMPUS.

Selain itu, SPRM turut mengadakan demonstrasi penambahbaikan Portal ASEAN-PAC yang menampilkan reka bentuk lebih kemas, navigasi mesra pengguna dan penyusunan maklumat lebih sistematik bagi memudahkan perkongsian maklumat antara negara anggota.

Mesyuarat itu turut disertai wakil United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) secara maya.

Ucapan pembukaan mesyuarat disampaikan Pengerusi Anti-Corruption Commission of Myanmar (ACC), Soe Thein, manakala persidangan dipengerusikan Pesuruhjaya ACC, Kyaw Win Thein.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here