Dua individu ditahan kes bendera dipasang terbalik

POLIS menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung pemasangan bendera Malaysia dan Johor secara terbalik di sebuah kilang di Indahpura, di Kulai, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 48 tahun itu ditahan pada jam 10.45 pagi, Isnin lalu selepas pihaknya mengesan gambar kejadian berkenaan yang tular.

“Suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai individu yang memasang bendera terbalik manakala wanita berkenaan disyaki orang yang menyerahkan serta mengarahkan pemasangan bendera tersebut.

“Turut dirampas, sehelai bendera Malaysia, sehelai bendera negeri Johor serta jadual kerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tan berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Semalam, sebuah premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Beberapa keping gambar pemasangan bendera secara terbalik itu turut tular di media sosial sebelum tindakan diambil pihak berkuasa.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan penutupan sementara itu diambil sehingga pihak syarikat berkenaan tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here