Dua lelaki ditahan bawa 690 kilogram daun ketum dalam Toyota Alphard

DUA lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai membawa 690 kilogram (kg) daun ketum bernilai kira-kira RM27,600 menggunakan sebuah kenderaan mewah di Kilometer 371 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad, berkata kedua-dua suspek berusia 21 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 pagi oleh anggota Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan Sektor 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan selepas kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki kedua-dua suspek ditahan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 69 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum seberat kira-kira 690kg, dengan anggaran nilai pasaran RM27,600.

“Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan daun ketum untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas sebuah Toyota Alphard bersama satu unit alat kawalan jauh kenderaan bagi membantu siasatan.

Khalid berkata, semakan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod berkaitan dadah serta satu rekod jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here