DATUK Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat menembusi pasaran serta memperluas kerjasama di Arab Saudi dan mengambil bahagian dalam projek yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri membuat saranan itu selepas menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir Othman Al-Rumayyan.
Kata beliau, PIF merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan melebihi US$900 bilion.
‘’Peranannya sebagai pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi turut membuka ruang kerjasama yang luas dengan rakan antarabangsa. Kami bertukar pandangan tentang peluang memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia–Arab Saudi, khususnya dalam sektor pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal, ‘’ kata melalui Facebook beliau.
Kata Perdana Menteri, Yasir Othman turut memaklumkan bahawa syarikat milik penuh PIF, RUA AlHaram AlMakki, sedang meneroka kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi pembangunan berorientasikan transit di kawasan Jabal Al Kaabah, Makkah.
‘’ RUA ialah pemaju induk bagi pembangunan King Salman Gate di kota suci itu. Potensi kerjasama ini adalah manifestasi keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia, di samping membuka peluang baharu kepada perniagaan dan tenaga mahir kita,’’ katanya.





