LIMA warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai menyeludup dadah jenis etomidate seberat kira-kira lima kilogram (kg) yang disembunyikan di dalam kasut.
Kelima-lima suspek ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, pada Jumaat lalu.
Pengarah Direktorat Jenayah Narkotik, Badan Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia (Bareskrim Polri), Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso, berkata mereka yang ditahan termasuk seorang wanita berusia 25 tahun manakala tiga lagi lelaki berusia 21 tahun, 22 tahun, 24 tahun dan 49 tahun.
“Mereka berperanan sebagai kurier,” katanya dalam kenyataan.
Selain lima warga Malaysia terlibat, polis turut menahan seorang lelaki dari Bandung, Jawa Barat, berusia 36 tahun dan dikenali sebagai SSS yang dipercayai berperanan sebagai pemandu.
Eko berkata, penahanan itu bermula selepas Subdirektorat III Direktorat Jenayah Narkotik Bareskrim Polri menerima maklumat mengenai penahanan lima warga Malaysia oleh Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima suspek yang tiba dengan penerbangan AirAsia QZ201 dari Kuala Lumpur membawa 10 bungkusan serbuk yang disyaki mengandungi etomidate.
“Bahan itu disembunyikan di bahagian dalam tapak kasut. Secara keseluruhan, 10 bungkusan dengan berat kasar lima kilogram ditemukan,” katanya.
Hasil soal siasat mendapati kelima-lima suspek mengaku diarahkan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Madam’ untuk membawa etomidate dari Malaysia ke Indonesia.
Setibanya di Indonesia, mereka kemudian diarahkan melalui aplikasi Telegram untuk menuju ke sebuah hotel di kawasan Harmoni, Jakarta.
Di hotel berkenaan, semua kasut yang mengandungi etomidate dikumpulkan ke dalam sebuah beg pakaian berwarna merah sebelum diserahkan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Wu Song di lobi hotel.
Eko berkata, pasukan penyiasat kemudian menahan Wu Song dan menemukan kunci sebuah unit apartmen di Mediterania Marina Residence ketika pemeriksaan terhadapnya.
Polis seterusnya melakukan pemeriksaan di apartmen berkenaan yang disyaki dijadikan makmal haram bagi menghasilkan etomidate.
Berdasarkan keterangan Wu Song, dia berada di Indonesia sejak 19 September lalu dan menetap di unit apartmen berkenaan.





