DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal yang bergesel sesama sendiri di Kilometer 1.7 Lebuh Raya Linkedua arah selatan, di Iskandar Puteri, hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata mangsa warga tempatan berusia 30 dan 31 tahun itu cedera parah pada bahagian kepala selain patah tangan kanan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
“Hasil siasatan mendapati empat penunggang motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Singapura dan bergerak di lorong sebelah kanan, sebelum mereka bergesel sesama sendiri.
“Akibat daripada perlanggaran terbabit, semua penunggang motosikal terbabit terbabas di lorong yang sama dan menyebabkan dua daripadanya meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala dua yang lain masih mendapat rawatan di hospital kerana cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah (BSPTD) Iskandar Puteri melalui talian 07-5101322,” katanya.


