DUA objek menyerupai bom yang ditemui dalam stor sebuah rumah di Taman Bagan di Butterwiorth semalam disahkan bom mortar latihan milik tentera, tetapi tidak mengandungi bahan letupan serta tidak mendatangkan sebarang bahaya.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata penemuan itu dimaklumkan kepada polis selepas seorang wanita tempatan ke Balai Polis Butterworth bersama dua objek menyerupai bom itu, yang ditemui ketika mengemas stor rumah mendiang bapanya.
“Siasatan awal mendapati wanita itu menemui objek tersebut ketika membersihkan stor rumah bapanya yang meninggal dunia pada Disember tahun lepas. Kediaman berkenaan sebelum ini didiami mendiang bapanya bersama ibunya yang berusia lingkungan 60-an.
“Saksi juga tidak mengetahui kewujudan objek itu dan siasatan di lokasi mendapati stor tersebut digunakan untuk menyimpan barangan lama milik mendiang sejak kira-kira 20 tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan unit pemusnah bom IPK Pulau Pinang mengesahkan kedua-dua objek itu ialah bom mortar latihan yang tidak mengandungi bahan letupan, dan bom berkenaan telah diserahkan kepada unit terbabit untuk tindakan lanjut.






