PEMANDU dan penumpang sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza maut dan rentung selepas dihempap sebuah lori tangki minyak sebelum terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh, Teriang, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika lori tangki yang membawa 32,000 liter petrol dan diesel itu dalam perjalanan dari Seremban ke Temerloh.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, lori hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan berkenaan dan terbalik lalu menghempap kereta itu sebelum terbakar.
“Kejadian itu melibatkan kedua-dua kenderaan telah terbakar pemandu lori iaitu satu lelaki Melayu berusia 37 tahun telah berjaya menyelamatkan diri dan alami cedera kecil manakala kita percayai pemandu serta penumpang dalam kereta berkenaan gagal untuk menyelamatkan diri dan dipercayai dalam keadaan rentung terbakar.
“Jadi butiran mangsa serta jumlah mangsa dalam kenderaan berkenaan kita tak dapat pastikan kerana keadaan kereta yang remuk dan api pun baru berjaya dipadamkan kerana ambil masa sedikit kerana bahan-bahan api iaitu petrol dan diesel berkenaan,” katanya lapor Buletin TV3.
KAtanya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari rangka kenderaan dijalankan pihak bomba.
“Kes ini kita akan siasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori tangki berkenaan kita akan tahan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya lagi.





