TIGA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes ragut beg sandang milik seorang peniaga di kawasan Taman Mutiara Raya, Cheras, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dilakukan secara berasingan di sekitar Cheras susulan laporan polis dibuat mangsa pada 4 April lalu.
Menurutnya, mangsa diragut dua suspek bermotosikal di hadapan sebuah salon rambut, menyebabkan kerugian kira-kira RM2,000 termasuk wang tunai, dokumen peribadi dan kad bank.
“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras dan sebuah pusat beli-belah pada 9 April lalu.
“Hasilnya, tiga lelaki berusia antara 23 hingga 33 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau antara dua hingga 14 kes.
Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal, komponen kenderaan, telefon bimbit, topi keledar serta wang tunai.
“Hasil siasatan awal mendapati dua suspek melakukan ragut menggunakan motosikal milik rakan sebelum hasil samun dibahagikan untuk perbelanjaan harian dan pembelian dadah,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan kesemua suspek direman bermula 10 hingga 14 April ini bagi membantu siasatan lanjut.


