‘’Dulu pengurusan FELDA catat untung…datang pimpinan baharu rugi RM10 bilion’’ – PM

KERAJAAN terpaksa membayar RM980 juta setiap tahun sebagai ganti rugi susulan kerugian ditanggung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  di bawah pengurusan terdahulu, FELDA mencatat keuntungan sehingga RM1 bilion dan menjadi kebanggaan Malaysia kerana agensi itu memiliki dan menguruskan ladang terbesar di dunia.

“Kerajaan terpaksa bayar RM980 juta setiap tahun sebagai ganti rugi FELDA. FELDA ini masa legasi Taib Andak, Raja Alias untung sehingga RM1 bilion. Masa itu FELDA menjadi kebangaan kita, ladang terbesar di dunia tapi tak semena-mena, datang pimpinan baharu rugi berbilion… rugi RM10 bilion.

“Saya ambil alih, FELDA bayarlah tapi tidak adil sebab bukan salah peneroka, bukan salah orang kampung.

“Ia salah pengurusan, sepatutnya saya suruh FELDA bayar balik tapi macam mana, yang buat kerja tak senonoh orang lain, saya ambil keputusan kerajaan terpaksa bayar,” katanya berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Desa Cempaka di Seremban, malam tadi.

Anwar berkata, ada pihak cuba memberi naratif tidak baik dan mendakwa beliau takut kepada DAP.

“Naga berani dilawan inikan pula cicak mengkarung. Dulu seluruh sistem, saya kena pukul, dimalukan, diserang diaibkan hari-hari, masuk penjara untuk apa, untuk saya insaf, takpalah dikenakan fitnah.

“Allah telah takdirkan orang yang kamu hina, sekarang Perdana Menteri Malaysia. Saya nak jaga supaya rakyat tak menyesal,” katanya.

Anwar mengakui tidak boleh menerima pemimpin mencuri duit negara walaupun terpaksa berdepan atau cacian daripada mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan atau tindakan diambil bagi membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Tak bolehkah kita sebagai insan yang terbaik hormat semua orang (bukan Islam), inilah MADANI, ada rahmah, ada ihsan kerana kita manusia, kita nak Malaysia ini hebat.

“Saya arah (Menteri Digital) Gobind Singh laksanakan digital di bandar dan di kampung, kawasan Melayu, Cina, India. Kalau kita nak maju tapi asyik bergaduh kata Cina, India, mana boleh, tak boleh sebab kita semua kaum ini sebagai satu pasukan.

“Orang tuduh saya tak jaga Melayu tapi tanah Melayu mana yang saya ambil? Ada (pihak) hak Melayu kamu sapu, tanah rizab Melayu pun hilang, kontrak Melayu pun sapu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img