KESTABILAN politik, pengukuhan ekonomi, pembelaan kebajikan rakyat dan tadbir urus berintegriti menjadi landasan utama pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang empat tahun di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kestabilan politik yang berjaya dikekalkan sepanjang tempoh itu membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda pembangunan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, usaha memperkukuh ekonomi negara juga terus menjadi keutamaan kerajaan walaupun berdepan pelbagai cabaran, selain memastikan kebajikan masyarakat daripada pelbagai lapisan tidak terabai.
Menurutnya, perhatian terhadap kebajikan merangkumi golongan nelayan, penjaja kecil, pelajar sekolah serta kelompok rentan dan miskin tegar.
“Saya fikir empat perkara. Yang pertama, Kerajaan MADANI berjaya mewujudkan kestabilan politik untuk empat tahun ini. Yang kedua, Kerajaan MADANI tak lari daripada fokus berusaha untuk kemakmuran ekonomi.
“Yang ketiga, kalau kita tengok sepanjang empat tahun, tumpuannya adalah kepada menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2027 (AISSE’27) di ibu negara hari ini.
Mengulas aspek tadbir urus, Saifuddin berkata, usaha membanteras ketirisan, rasuah dan pembaziran serta mengawal perbelanjaan berlebihan turut menjadi sebahagian daripada pendekatan kerajaan dalam memastikan pengurusan kewangan negara lebih cekap.
Katanya, penjimatan yang diperoleh melalui langkah kawalan perbelanjaan itu boleh dimanfaatkan semula bagi memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga membuktikan peningkatan hasil negara tidak semestinya bergantung kepada pengenalan cukai baharu, sebaliknya boleh dicapai melalui pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin.
“Dengan cara itu dia (Perdana Menteri) bagitahu bahawa ada ketikanya kita tak perlu kenakan cukai baharu untuk menambah keuntungan negara. Memadai dengan kita ketatkan kawalan, jimat belanja, elak amalan boros, maka wang yang diselamatkan itu diagihkan untuk rakyat balik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, gagasan Malaysia MADANI turut membawa pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh dengan tidak hanya mengukur kemajuan berdasarkan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi.
Sebaliknya, pembentukan jiwa, penghayatan nilai murni serta pembangunan insan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kemajuan negara seimbang dan memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.





