PELBAGAI pembaharuan dasar yang dilaksanakan sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI telah membantu memperkukuh kedudukan ekonomi negara, namun usaha memastikan manfaat pertumbuhan itu benar-benar dirasai rakyat perlu terus diberi perhatian.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, usaha memperkukuh ekonomi negara boleh dinilai menerusi beberapa aspek utama termasuk pemulihan kedudukan fiskal, penstrukturan semula ekonomi, peningkatan daya saing serta pengukuhan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, antara pembaharuan penting yang dilaksanakan kerajaan ialah pengenalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 bagi memperkukuh disiplin pengurusan kewangan negara.

Beliau berkata, langkah rasionalisasi subsidi diesel dan petrol menerusi mekanisme bersasar serta usaha memperluas asas hasil kerajaan turut menjadi sebahagian daripada pendekatan untuk memastikan kedudukan fiskal negara lebih mampan.
“Defisit fiskal negara menunjukkan pengurangan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025. Ini perkembangan signifikan kerana pengurangan defisit dapat mengawal keperluan pinjaman baharu dan mewujudkan ruang fiskal untuk kerajaan menghadapi krisis ekonomi pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, pengurangan defisit perlu disertai peningkatan kecekapan perbelanjaan kerajaan dan bukannya bergantung semata-mata kepada peningkatan kutipan cukai yang boleh membebankan rakyat serta sektor perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rais berkata, usaha menstrukturkan semula ekonomi ke arah aktiviti bernilai tinggi turut menjadi antara keutamaan penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap sektor yang menawarkan pekerjaan berkemahiran rendah.
Katanya, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh sektor berteknologi tinggi, ekonomi digital, semikonduktor serta tenaga boleh baharu.
“Usaha ini penting bagi meningkatkan keupayaan ekonomi negara supaya kita tidak terus bergantung kepada aktiviti berkemahiran rendah, sebaliknya memberi penekanan kepada industri yang mampu menghasilkan nilai tambah lebih tinggi.
“Sebagai contoh, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan pertumbuhan 62.1 peratus pada suku ketiga 2026, sekali gus menunjukkan potensi Malaysia memanfaatkan peningkatan permintaan teknologi global,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh rantaian bekalan domestik, meningkatkan pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan tinggi kepada rakyat.
Mengulas prestasi makroekonomi, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.6 peratus bagi sembilan bulan pertama 2026 berbanding 4.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu turut menggambarkan daya tahan ekonomi Malaysia ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan tekanan harga tenaga global.
Katanya, kestabilan makroekonomi penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti, sekali gus merangsang pengembangan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi ekonomi negara perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport dan pelaburan, tetapi turut mengambil kira kesannya terhadap pendapatan serta kuasa beli rakyat.
“Kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, pelarasan gaji penjawat awam sehingga 15 peratus serta memperluas bantuan bersasar menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Langkah ini penting sebagai mekanisme perlindungan sosial untuk membantu golongan memerlukan, selain merangsang permintaan domestik melalui perbelanjaan isi rumah yang akhirnya memberi kesan positif kepada kitaran ekonomi negara,” katanya.
Namun, Abdul Rais berkata, masih wujud jurang antara prestasi ekonomi pada peringkat makro dengan realiti kehidupan rakyat, khususnya apabila berdepan peningkatan kos bagi komponen tertentu seperti pengangkutan dan makanan di luar rumah.
Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan kestabilan harga dan usaha menangani kos sara hidup terus diberi perhatian supaya pertumbuhan ekonomi tidak hanya dilihat melalui angka pencapaian, sebaliknya turut mencerminkan peningkatan kesejahteraan masyarakat.
“Secara keseluruhannya, pelbagai pembaharuan dasar telah diusahakan sepanjang empat tahun ini, termasuk pelaksanaan subsidi dan bantuan bersasar. Namun, mekanisme pelaksanaannya perlu lebih jelas supaya benar-benar membantu golongan yang memerlukan.
“Perkara paling penting ialah bagaimana kerajaan menyediakan rakyat untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global serta bersedia sekiranya berlaku sebarang kejutan ekonomi.
“Ini kerana rakyat merupakan golongan yang akan merasai tekanan tersebut dengan lebih besar. Jika perkara ini tidak diberi perhatian, kerajaan mungkin terpaksa menanggung beban yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.





