Sindiket dadah Indonesia-Malaysia tumpas, RM229 juta dirampas

SATU sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai beroperasi antara Indonesia dan Malaysia berjaya dilumpuhkan selepas lima lelaki ditahan dan dadah dianggarkan bernilai Rp1.01 trilion (RM229 juta) dirampas di Sumatera.

Lima suspek termasuk seorang bekas pelumba motosikal dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan dalang sindiket berkenaan yang masih diburu pihak berkuasa.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Polis Nasional Indonesia, Kristian Parluhutan Siagian berkata, rampasan itu membabitkan 378 kilogram (kg) methamphetamine, 200,252 pil ekstasi dan 11,752 kartrij mengandungi cecair etomidate.

“Nilai keseluruhan barang bukti yang dirampas ialah Rp1,014,347,252,000 (RM229 juta),” katanya menurut portal berita Indonesia, Kompas.

Menurut laporan itu, lima suspek dikenal pasti berdasarkan parap RR, RA, AT, AN dan SBD.

RR, bekas pelumba motosikal dari Pekanbaru, Riau, dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah serta orang kepercayaan individu dikenali sebagai A, yang masih diburu pihak berkuasa.

A dipercayai mengendalikan kegiatan pengedaran dadah di wilayah Riau.

Sementara itu, AT disyaki menerima dan mengira bekalan dadah di sebuah gudang, AN dipercayai menyelaras penghantar dadah di lapangan, manakala SBD berperanan sebagai pemandu.

Kelima-lima suspek didakwa mengikut Artikel 114(2) dibaca bersama Artikel 132(1) dan/atau Artikel 119(2) dibaca bersama Artikel 132(1) Undang-undang Narkotik Indonesia 2009, selain boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan republik itu.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara antara enam hingga 20 tahun.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here