Pembinaan ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di peringkat kajian kebolehlaksanaan

PEMBINAAN Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu di Pengkalan Hulu, Gerik kini di peringkat kajian kebolehlaksanaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kajian berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan kompleks baharu itu dijangka memberi keselesaan kepada pelancong dan pengguna, selain mempertingkatkan kawalan keselamatan.

“ICQS (Bukit Berapit) Pengkalan Hulu ini unik kerana lokasi di antara pusat pemeriksaan sebelah Thailand dengan sebelah kita (Malaysia) itu jaraknya agak jauh.

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu di Pengkalan Hulu yang kini di peringkat kajian kebolehlaksanaan, hari ini. GAMBAR: Facebook Saifuddin Nasution Ismail

“Walaupun tidak sampai satu kilometer, saya boleh tengok tadi orang yang buat pemeriksaan di tempat kita, kemudian heret beg sampai ke sana (pusat pemeriksaan) dan adalah (terdapat) isu-isu keselamatan yang lain.

“Dalam siri perbincangan dengan kerajaan negeri Perak, mereka telah mencadangkan beberapa lokasi untuk kami usahakan dan keperluan untuk kami bina baharu, jika cepat kajian (kebolehlaksanaan) dijalankan, maka cepat (dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Bukit Berapit di Pengkalan Hulu hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain.

Tahun lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, KDN dalam proses menyelesaikan isu berkaitan tanah bagi pembinaan ICQS baharu Bukit Berapit.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan mempunyai perancangan pengambilalihan pengoperasian ICQS Bukit Berapit di bawah seliaan AKPS bagi memperkemas sistem kawalan keselamatan.

“AKPS akan ambil alih sehingga 122 pintu masuk seluruh negara termasuk laut, darat dan udara. Pengkalan Hulu ini akan sampai masanya diambil alih oleh AKPS.

“Bila cukup dari segi sumber manusia, cukup dari segi infrastruktur dan sebagainya, maka Ketua Pengarah AKPS kemudiannya akan memuktamadkan bila AKPS akan mengambil alih sepenuhnya,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, buat masa ini keutamaan AKPS adalah kepada pintu masuk sempadan negara yang kritikal termasuk di Kedah dan Kelantan.

Katanya, ketika ini AKPS telah mengambil alih kawalan di 22 daripada 122 pintu masuk sempadan negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img