
KEKUATAN Pakatan Harapan (PH) perlu dibina berasaskan keupayaan sendiri dan bukannya bergantung kepada kelemahan atau masalah yang dihadapi parti lawan.
Justeru ketika menegaskan perkara itu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadhil mengingatkan, jentera pakatan itu tidak terlalu selesa.
“Lemahnya musuh tidak bererti kuatnya kita. Arahan daripada pimpinan adalah jentera dan pasukan PH mesti kuat sendiri. Tidak bergantung kepada sama ada kelemahan musuh ataupun mana-mana pihak lain. Itu falsafah yang kita pegang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian kepada pemberita selepas melawat program AI@NADI di NADI Seri Menanti, Kampung Terachi, di Kuala Pilah hari ini.
Sambil memaklumkan jentera PH digerakkan untuk mendekati pengundi melalui pelbagai platform, Fahmi berkata, mereka perlu berkempen dengan baik, sihat dan dengan fakta serta memahami bahawa pengundi kini boleh mendapatkan maklumat dalam pelbagai cara.
“Justeru, mereka perlu mempunyai keupayaan mendampingi para pengundi yang memperoleh maklumat bukan sahaja secara bersemuka, tetapi juga menerusi platform-platform baharu,” katanya.






