SEBANYAK RM1.18 juta ganjaran telah diberikan kepada 652 penjawat awam yang tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025, sebagai pengiktirafan terhadap keberanian mereka dalam membantu membanteras kegiatan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 individu diperaku menerima sijil penghargaan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Katanya, empat agensi utama yang mencatatkan bilangan penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang tempoh berkenaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 437 orang, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebanyak 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seramai 33 orang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan 21 orang.
Bagi siri penilaian tahun 2026 pula, seramai 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan telah dikemukakan oleh pihak sekretariat untuk penilaian, membabitkan PDRM seramai 38 calon, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) 12 calon, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiga calon dan JIM seorang calon.
Penilaian tahun ini melibatkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
Antara kes berprofil tinggi yang diketengahkan termasuk penolakan tawaran rasuah bernilai RM200,000 oleh seorang pegawai PDRM di Perlis berhubung kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan, selain kes penolakan suapan RM45,000 di Johor.
Semua calon yang dinilai telah melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan yang ditetapkan.
Mengulas mengenai kriteria kelayakan, Abd Halim berkata, penjawat awam yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.
Beliau turut menyeru agar inisiatif pemberian ganjaran ini diperluas bukan sahaja terhad kepada agensi penguatkuasaan, malah kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya tampil berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah.
“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Program pengiktirafan ini merupakan kesinambungan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Jabatan Peguam Negara, Datuk Kamal Baharin Omar; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Saiful Hazmi Mohd Saad dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim





