POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian khianat dan rusuhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan di Cheras, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum laporan diterima pada jam 7.30 malam hari sama.
Menurutnya, kumpulan suspek bertindak agresif dengan merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori sebelum menceroboh masuk ke dalam bangunan berkenaan.
“Mereka kemudian melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan pelbagai barangan di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta merusuh.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti semua suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.


