PM arah tindakan tegas tanpa kompromi isu penyeludupan dadah guna aset TUDM

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap kegiatan penyeludupan dadah, termasuk kes disyaki membabitkan penyalahgunaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perdana Menteri menegaskan, penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap negara, malah boleh mengancam keselamatan negara, khususnya apabila membabitkan aset pertahanan.

“Mana mungkin kita izinkan benteng pertahanan kita bocor dan dipergunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Ini khianat kepada negara dan bahayanya besar,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung isu keselamatan sempadan, penyeludupan dadah dan ketirisan dalam agensi berkaitan.

Menurut Anwar, dakwaan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan pesawat TUDM bukan perkara baharu dan sudah diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memastikan isu berkenaan dipantau secara rapi.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan atau kemudahan kerajaan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Pagi ini, tiga pegawai TUDM bersama tiga individu awam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam berhubung kes pengedaran dadah jenis methamphetamine seberat 96.2 kilogram di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 17 November lalu.

Tiga pegawai berkenaan ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27, dan Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan mengedar dadah.

Sebelum ini, polis menahan 11 individu, termasuk lima anggota TUDM dan enam orang awam dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.

Operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here