SEORANG pembantu tadbir wanita didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan palsu berkaitan harga petrol dan diesel menggunakan logo Buletin TV3 di aplikasi Threads, tahun lalu.
Tertuduh, Nur Irsalina Omar Kumar, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Akta 588 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan akaun Threads ‘@its.ellsaleena_’ secara sedar memuat naik kenyataan bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kandungan dimuat naik itu memaparkan infografik palsu mengenai harga petrol dan diesel menggunakan logo Buletin TV3 yang kemudiannya dinafikan stesen televisyen berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 31 Mac 2024 dan kandungan terbabit dilihat pada hari sama kira-kira jam 10 malam di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyberjaya.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam memandangkan isu harga bahan api boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda minimum atas alasan hanya memperoleh pendapatan RM2,800 sebulan selain memaklumkan kandungan berkenaan diperoleh daripada kenalan menerusi WhatsApp sebelum dimuat naik dan dipadam dalam tempoh singkat.
Dia turut memberitahu mahkamah bahawa dirinya merupakan penanggung utama keluarga termasuk bapanya yang juga orang kurang upaya (OKU) dan tidak bekerja, selain menjaga datuk yang uzur, ibu serta adiknya yang baru terbabit dalam kemalangan.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut mengarahkan semua barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan.


