Guna pedang samurai cederakan ibu bapa: Lelaki mengaku tidak bersalah

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan mencederakan ibu bapanya dengan menggunakan pedang samurai sehingga parah pada penghujung Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Aiman didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suhaimi Dawi, 58, dan Shahaliza Ahmad Hashim, 58, dengan menggunakan pedang samurai di sebuah rumah di Bandar Baru Putra dalam daerah Kinta pada 6.30 pagi 26 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya M Raveenaa tidak menawarkan jaminan dan memohon agar tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan mental.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Disember lalu, polis mengesahkan menahan seorang lelaki kerana mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Ipoh.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img