SEORANG guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Mohd Shafie Mohamad, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Tiga pertuduhan pertama membabitkan dakwaan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja berusia 17 tahun lapan bulan.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Kota Bharu serta sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok, masing-masing pada Jun tahun lalu, April dan 17 September lalu.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 17 tahun enam bulan dan 17 tahun lima bulan di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada pertengahan Ogos serta jam 6 petang pada 26 Ogos lalu, lapor Harian Metro.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Arina Razali tidak menawarkan jaminan dengan alasan kes berkenaan merupakan kesalahan serius.
Bagaimanapun, peguam Nurul Samhana Aidenan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas faktor kesihatan anak guamnya yang mengalami kencing manis kronik dan tekanan darah tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Antara syarat tambahan dikenakan ialah tertuduh perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan.
Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes.





