MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh , Melaka menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang guru tahfiz selepas dia mengaku salah atas 10 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan meliwat tiga pelajarnya di Bukit Rambai, tahun lalu.
Muhammad Aimanuddin Julaihi, 31, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas 10 pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah pada prosiding hari ini.
Hakim Rohatul Akmar menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pemberatan hukuman.
Mengikut lapan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelakinya yang ketika itu berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.
Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan termasuk bilik tidur, pejabat, dewan makan, perpustakaan dan lorong sempit sekitar pusat tahfiz di Bukit Rambai, pada tarikh dan masa berbeza antara Mei hingga Julai 2025.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh turut mengaku meliwat dua lagi pelajarnya yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di biliknya pada Julai 2025 kira-kira jam 12 tengah malam dan di dalam perpustakaan kira-kira jam 8 pagi pada Mei 2025.
Semua 10 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Muhammad Aimanuddin yang tidak diwakili peguam memohon budi bicara mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara seminimum mungkin bagi semua pertuduhan dan dijalankan serentak.
Katanya, dia anak kedua daripada tiga beradik serta menyara ibu dan seorang abang yang sakit.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman pemenjaraan panjang terhadap dengan mengambil kira pertuduhan melibatkan tiga mangsa kanak-kanak berbeza.
Dalam penghakimannya, Hakim Rohatul menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, manakala penjara 11 tahun dan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan meliwat.
Hukuman penjara bagi semua pertuduhan ditetapkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Ogos lalu.





