Harga minyak : Danish jawab kenyataan ‘separuh masak’ Akmal,Ahmad Fadhli

KETUA Penerangan  Pemuda PKR (AMK) Danish Hairudin menyifatkan perbandingan harga bahan api antara Malaysia dan Thailand yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO  Datuk Dr Akmal Saleh dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai fakta “separuh masak”.

Berikutan kenyataan penuh Danish melalui Facebook beliau:

Dr. Akmal Saleh dan Ahmad Fadhli Shaari yang cuba membandingkan dasar harga minyak Malaysia dengan Thailand jelas menunjukkan beliau bercakap tidak merujuk fakta yang sebenar. Isu sebesar ini tidak boleh dibincangkan secara simplistik tanpa memahami struktur subsidi, mekanisme harga dan perlindungan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Jika benar mahu ikut kaedah Thailand maka rakyat perlu tahu implikasinya secara jujur. Mengikut formula Thailand bermakna tiada BUDI95, tiada had 800 liter untuk e-hailing, tiada Fleet Card Diesel, dan tiada bantuan tunai BUDI MADANI Diesel RM300 kepada golongan yang layak. Persoalannya, sanggupkah beliau melihat semua bentuk perlindungan ini dihapuskan?

Inilah masalah bila bercakap tanpa fakta nampak seolah-olah mahu membela rakyat, tetapi hakikatnya cadangan yang dibawa akan menambah beban rakyat.

Lebih lucu, Thailand yang dijadikan contoh itu sendiri mempunyai harga petrol yang lebih mahal daripada Malaysia, manakala diesel mereka pula tidak jauh berbeza. Jadi kita nak tiru apa sebenarnya? Tiru harga yang lebih mahal atau tiru sistem tanpa perlindungan rakyat?

Malaysia hari ini bukan sekadar mengurus harga, tetapi melindungi majoriti rakyat melalui pendekatan bersasar dan bertanggungjawab.

Janganlah sekadar petik nama negara lain untuk nampak bijak, tetapi akhirnya mendedahkan ketidaktahuan sendiri. Malaysia hari ini tidak hanya mengurus angka di papan harga, tetapi memastikan rakyat terus dilindungi. Kita ambil pendekatan bersasar, bukan pendekatan lepas tangan seperti yang cuba digambarkan.

Berhubung harga minyak semasa, semua orang tahu harga global sedang menunjukkan penurunan. Tetapi jangan pura-pura tidak faham bagaimana sistem kita berfungsi.

Malaysia menggunakan Automatic Pricing Mechanism (APM), berdasarkan purata harga minggu sebelumnya. Ini bukan perkara baru, ini asas yang semua pihak patut tahu kecuali jika memang tidak pernah ambil tahu. Maknanya, harga yang dibayar hari ini datang daripada kos minyak yang dibeli ketika harga global melonjak tinggi sebelum ini ketika petrol mencecah sekitar USD150 setong dan diesel sehingga USD250 setong.

Jadi bila harga belum turun serta-merta, jangan terus menyalak seolah-olah kerajaan gagal. Hakikatnya, yang gagal adalah mereka yang bercakap tanpa memahami mekanisme asas. Jika harga global kekal rendah, dalam tempoh satu hingga dua minggu, penurunan itu akan dirasai rakyat. Itu fakta. Bukan persepsi.

Namun dalam apa jua keadaan, satu perkara kekal jelas harga RON95 bersubsidi masih pada RM1.99 seliter. Itu bukti komitmen kerajaan untuk terus melindungi rakyat.

Justeru, berhentilah bermain politik murahan dalam isu yang menyentuh kehidupan harian rakyat. Negara ini memerlukan pemimpin yang memahami dasar, bukan sekadar membuat perbandingan kosong tanpa fakta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img