GSF 2.0: Kerajaan terus pantau situasi sukarelawan negara, siap siaga sekiranya dipintas Israel

KERAJAAN terus memantau situasi pasukan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini berada di garisan kuning dua, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, sekiranya dipintas oleh rejim Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan sedaya upaya berhubung secara langsung dengan kerajaan Jordan dan Arab Saudi untuk mengetahui kedaaan terkini peserta selain bersiap siaga seandainya situasi tidak diingini berlaku.

“Kita pantau selalulah, maknanya dah bagi desakan tapi kita berdepan dengan Israel yang paling biadab dalam dunia.

“Bukan saja (berhubung) dengan peserta dari Malaysia tapi (juga) dengan Sepanyol, Turki dan Brazil… kita bersiap sedia sekiranya ia (pintasan) berlaku,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas Majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Meru hari ini.

Anwar ditanya mengenai kenyataan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) yang mengesahkan keadaan genting 54 kapal GSF yang kini berada di garisan kuning dua, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza dan berisiko tinggi dipintas oleh rejim Zionis seperti sebelum ini.

Ditanya jika rombongan itu benar-benar dipintas oleh Zionis, Anwar berkata: “Kita mohon doa, mudah-mudahan tidak berlaku, tapi (jika berlaku) kita siap siaga.”

Misi GSF 2.0 kali ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa dari 45 negara termasuk 29 rakyat Malaysia yang digerakkan oleh pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img