Hutang kutu RM1.7 juta : Wanita dihantar ke Penjara Pokok Sena

SEORANG wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan 52 peserta dengan nilai keseluruhan lebih RM1.7 juta sejak tahun lalu.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai 52 individu dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Julai 2025 hingga Julai lalu di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 terhadap tertuduh atas alasan dia berpotensi melarikan diri kerana mempunyai kemampuan kewangan.

Bagaimanapun, tertuduh tidak membuat sebarang rayuan terhadap tawaran jaminan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sharmila kemudian memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 22 September depan untuk fakta kes serta hukuman terhadap pengakuan bersalahnya.

Berikutan keputusan itu, tertuduh akan ditempatkan di Penjara Pokok Sena sementara menunggu tarikh prosiding berkenaan.

Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan kehilangan tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu oleh bapa wanita terbabit.

Kehilangan mereka didakwa mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu yang dianjurkan, dengan wanita terbabit disyaki berperanan sebagai ibu kutu dan mengumpulkan wang daripada peserta.

Dua hari kemudian, lelaki dan wanita berusia 39 serta 36 tahun itu menyerah diri apabila hadir ke Balai Polis Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here