Surat Terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi
BAHAGIAN AKHIR
Oleh: Shahbudin Embun
Ramai yang menerima gaji setiap bulan, tetapi selepas membayar sewa atau ansuran rumah, kenderaan, bil elektrik, air, telefon, makanan, persekolahan anak dan pelbagai komitmen lain, baki pendapatan mereka semakin mengecil.
Ada keluarga yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan, menangguhkan pembelian keperluan tertentu dan berjimat secara berlebihan demi memastikan wang mencukupi sehingga hujung bulan.
Inilah realiti yang sering tidak kelihatan dalam perbincangan ekonomi yang terlalu tertumpu kepada angka agregat.
Kadar inflasi yang terkawal tidak semestinya bermaksud setiap keluarga merasakan kehidupan semakin mudah. Begitu juga pertumbuhan ekonomi yang positif tidak secara automatik menjamin setiap kelompok rakyat menikmati peningkatan pendapatan dan taraf hidup. Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
PENGAJARAN DARIPADA ALLAHYARHAM TAN SRI PROF. DR. KAMAL SALIH
Saya teringat kepada Allahyarham Tan Sri Prof. Dr. Kamal Salih, seorang tokoh ekonomi negara yang banyak memberikan perspektif tentang pembangunan dan ekonomi Malaysia.
Antara pendekatan yang menarik dalam menilai keadaan ekonomi ialah melihat kepada tanda-tanda aktiviti sebenar di lapangan — termasuk perkembangan pembinaan, aktiviti perniagaan, pergerakan pengguna dan keadaan sektor-sektor ekonomi.
Pemerhatian seperti jumlah aktiviti pembinaan, keadaan premis perniagaan, restoran yang dipenuhi pelanggan serta pergerakan ekonomi setempat boleh menjadi petunjuk tambahan untuk memahami sentimen dan aktiviti ekonomi.
Sudah tentu, petunjuk seperti ini bukan pengganti kepada data rasmi, analisis ekonomi atau kajian statistik. Namun, ia merupakan satu dimensi penting yang membantu kita memahami apa yang sedang berlaku di sebalik angka.
Ekonomi bukan sekadar graf yang bergerak naik atau turun. Ekonomi ialah kehidupan manusia yang bergerak, bekerja, berniaga, membeli, membayar bil dan berusaha membina masa depan.
Pendekatan yang menggabungkan data rasmi dengan pemerhatian lapangan akan memberikan gambaran yang lebih lengkap dan lebih dekat dengan realiti rakyat.
Kerajaan perlu bertindak – bukan sekadat mendengar keluhan
Saya percaya YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Ekonomi memahami bahawa cabaran ekonomi bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan satu pendekatan sahaja.
Namun, dalam keadaan rakyat dan sebahagian sektor perniagaan merasakan tekanan, kerajaan perlu mempercepatkan langkah-langkah yang lebih bersasar.
Antara perkara yang wajar dipertimbangkan ialah:
1. Pakej bantuan bersasar kepada perusahaan mikro dan kecil
Bantuan, geran pemulihan atau insentif yang sesuai perlu diberikan kepada perniagaan yang benar-benar memerlukan, khususnya yang berpotensi bertahan, menyediakan pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi setempat.
2. Kemudahan pembiayaan jangka pendek
Peniaga yang berhadapan dengan tekanan aliran tunai memerlukan akses kepada pembiayaan yang munasabah, mudah dan tidak membebankan dengan syarat yang terlalu rumit.
3. Program pekerjaan graduan yang lebih berkesan
Kerajaan, industri dan institusi pendidikan perlu memperkukuh kerjasama bagi menyediakan peluang pekerjaan sebenar, latihan industri berkualiti, penempatan kerja dan insentif kepada majikan yang mengambil graduan baharu.
4. Peluang yang lebih luas kepada kontraktor tempatan
Projek pembangunan perlu memberi ruang yang lebih adil kepada kontraktor tempatan yang berkelayakan, khususnya dalam projek yang boleh menggerakkan ekonomi daerah, negeri dan komuniti.
5. Pemantauan kuasa beli dan aktiviti perniagaan
Kerajaan perlu menggabungkan data rasmi dengan kajian lapangan secara berkala bagi mengenal pasti sektor, lokasi dan kelompok rakyat yang paling terkesan.
6. Tindakan lebih pantas sebelum keadaan menjadi lebih serius
Jika terdapat sektor yang menunjukkan kelembapan, kerajaan perlu bertindak lebih awal. Jangan menunggu sehingga penutupan perniagaan, kehilangan pekerjaan atau peningkatan beban hutang menjadi terlalu besar sebelum intervensi dilakukan.
Jangan hanya melihat angka, dengarlah denyut nadi rakyat
YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Ekonomi,
Saya percaya kerajaan mempunyai pelbagai data, laporan dan analisis yang menjadi asas kepada keputusan dasar ekonomi. Namun, saya ingin menyampaikan satu pesanan yang datang daripada pemerhatian dan interaksi dengan rakyat: Jangan hanya melihat angka. Turun ke lapangan. Dengarlah suara peniaga kecil. Berbicaralah dengan pekerja. Temui graduan yang masih menganggur. Dengar keluhan kontraktor tempatan. Fahami keadaan keluarga yang terpaksa mengikat perut.
Kadangkala, jawapan kepada sesuatu masalah ekonomi tidak hanya terdapat dalam bilik mesyuarat, laporan teknikal atau pembentangan statistik. Jawapannya juga terdapat di kedai-kedai kecil, restoran, pasar, tapak pembinaan, pejabat kontraktor dan meja makan keluarga yang sedang menghitung baki pendapatan setiap bulan.
Saya tidak menulis untuk menyatakan bahawa ekonomi negara sedang runtuh. Saya juga tidak mahu membuat kesimpulan besar berdasarkan pemerhatian terhad. Tetapi saya percaya isyarat-isyarat daripada lapangan tidak boleh dipandang ringan. Kritikan yang membina bukan bertujuan melemahkan kerajaan. Sebaliknya, ia bertujuan membantu kerajaan mengenal pasti masalah lebih awal dan mengambil tindakan sebelum rakyat menanggung kesan yang lebih berat.
Kerajaan yang kuat bukan kerajaan yang hanya menerima pujian. Kerajaan yang benar-benar kuat ialah kerajaan yang berani mendengar kritikan, sanggup menilai kelemahan dan bertindak pantas memperbaiki keadaan. Rakyat tidak meminta keajaiban. Rakyat mahukan kehidupan yang lebih stabil, peluang pekerjaan, perniagaan yang mampu bertahan, pendapatan yang mencukupi dan keyakinan bahawa masa depan mereka serta anak-anak masih mempunyai harapan.
Ekonomi yang baik harus dirasai, buka sekadar dilaporkan
Kejayaan ekonomi tidak seharusnya hanya diukur melalui angka pertumbuhan, jumlah pelaburan atau pencapaian di atas kertas. Ia juga harus diukur melalui kemampuan seorang peniaga kecil mengekalkan perniagaannya.
Melalui kemampuan seorang graduan memperoleh pekerjaan, melalui peluang seorang kontraktor tempatan mengembangkan syarikatnya, melalui kemampuan seorang pekerja membawa pulang pendapatan yang mencukupi untuk keluarganya dan melalui keyakinan rakyat bahawa kehidupan mereka semakin baik, bukannya semakin terhimpit.
Inilah ukuran ekonomi yang paling dekat dengan rakyat.Dengar suara rakyat.Lihat realiti di lapangan, bertindak sebelum keadaan menjadi lebih serius. Kerajaan perlu terus berusaha, memperbaiki pendekatan dan memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kerana pada akhirnya, ekonomi yang berjaya bukan sekadar ekonomi yang mencatat angka yang baik. Ekonomi yang berjaya ialah ekonomi yang memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyatnya.
- Penulis adalah penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik, Kepimpinan & Pentadbiran Kerajaan Majlis Perundingan Melayu.





