SPRM nafi amalan siasatan dua darjat dalam kes projek JALB

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengamalkan siasatan secara dua darjat atau double standard dalam mengendalikan sesuatu kes.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan dakwaan berkenaan tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM telah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) membabitkan sebuah kementerian pada 7 Oktober lalu.

“Sehingga kini, seramai 20 orang saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu hari ini.

SPRM berkata, pihaknya menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran terhadap suruhanjaya berkenaan.

Bagaimanapun, sebarang dakwaan atau kenyataan yang dibuat perlu berlandaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya bersandarkan persepsi atau andaian semata-mata.

“SPRM ingin menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

“SPRM kekal komited untuk menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara,” menurut kenyataan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here