CORETAN HAJI
MUSIM haji tahun ini menyaksikan 31,600 jemaah dari Malaysia menjadi tetamu Allah bagi melaksanakan Rukun Islam Kelima itu. Alhamdulillah.
Sesungguhnya mereka adalah kalangan hamba-hamba Allah yang bertuah kerana ketika mereka berangkat atau sedang menunggu untuk berangkat ke tanah suci, terdapat 85,000 orang lagi terus berdoa diberi peluang yang sama. Kesemua mereka membuat rayuan, namun kuota sudah mencukupi
Justeru kepada bakal haji dan bakal hajjah dijemput Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya janganlah disia-siakan peluang yang mungkin dapat sekali sahaja seumur hidup. Barang harus diingat, ibadah haji tidak sama seperti ibadah umrah. Ibadah haji banyak cabaran dan dugaan.
Setiap kali berakhirnya musim haji maka tersebar cerita-cerita yang berlaku di tanah suci. Yang ada menggembirakan, ada yang sedih dan ada yang tidak sewajarnya berlaku. Hakikatnya apa yang berlaku bukanlah perkara baru namun ia berulang saban tahun tetapi melibatkan jemaah berbeza.
Para jemaah haji perlu ingat, kalau kita menjadi tetamu ke rumah orangpun kita harus menjaga percakapan dan perbuatan, apatah lagi menjadi tetamu Allah SWT di dua kota suci Makkah dan Madinah.
Berikut penulis senaraikan antara perbuatan yang tidak harus dilakukan oleh jemaah haji berdasarkan pengalaman penulis sendiri dan daripada pelbagai sumber.
- Jangan melayan media sosial berlebihan – kalau nak buka untuk dapat ilmu berkaitan haji boleh sahaja tetapi jangan dok buka sebab nak tengok drama Korea atau benda-benda yang tiada kaitan dengan ibadah haji.
- Jangan marah atau maki petugas haji. Kena faham jemaah haji ada 31,600 orang. Petugas haji ada 564 orang. Nisbahnya 1 petugas = 56 jemaah. Kalau ada apa-apa masalah cakaplah elok-elok dengan petugas bukan memarahi atau memaki mereka. Semua petugas Tabung Haji pasti cuba memberi khidmat yang baik. Jangan dok ingat sebab kita bayar, kita boleh buat sesuka hati.
- Jangan ingat kita lebih daripada jemaah lain – buanglah perangai buruk itu. Apabila tiba di tanah suci tidak kira kita datang dengan Tabung Haji atau PJH, apapun pangkat, kuasa atau kedudukan kita di tanah air kita sama sahaja memburu haji mabrur. Semua jemaah sama, tidak kira yang datang dari istana atau petani dari desa. Sebab itulah kain ihram warna putih… tak ada warna lain.
- Jangan riak – kalau pun sudah datang umrah berkali-kali jangan rasa kita sudah cukup ilmu untuk melaksanakan ibadah haji. Selagi belum berakhir wukuf di Arafah terus belajar apa yang patut. Kalau tak tahu tanya, jangan dok buat-buat pandai seolah-olah kita tahu segalanya.
- Jangan terlalu persoal, kenapa itu, kenapa ini, dalam bahasa mudah jangan bersungut. Jangan cakap sedap mulut sahaja. Jangan asyik nak mengeluh. Tempat ujian terbesar ialah ketika berada di Mina nanti. Khemah kecil sahaja, jadi bertolak ansur dan bertimbang rasa. Kalau rasa nak sangat selesa, pi tidur kat luar khemah. Jangan dok berebut nak duduk dekat penghawa dingin sampai suruh jemaah lain ulang alik ke hotel.
- Jangan hisap rokok atau vape. Ni penyakit lama macam tak ada ubat dalam kalangan jemaah haji. Datanglah tok syeikh besar manapun tegur…Tak percaya tengoklah nanti depan hotel ramai pak-pak haji dok buat ‘pembenihan awan’ – berkepul-kepul asap. Cukuplah jadikanlah tanah suci untuk kita tinggalkan tabiat buruk itu.
- Jangan buli jemaah lain. Nampak pelik tetapi ia berlaku. Paling tak tahan ada jemaah yang lebih tua bertanya kepada jemaah muda ‘’kau curi kuota sapa datang sini’. Satu lagi perbuatan buli paling buruk, suruh jemaah lain jadi ‘pembantu rumah’ basuh baju, cuci tandas. Harap ini tak berlaku.
- Jangan benarkan suami masuk ke bilik. Kes macam ni banyak berlaku sebab masing-masing nak melepas rindu tetapi kena ingat dalam bilik itu ada rakan sebilik kena jaga aurat.
- Jangan pinjamkan kad nusuk kepada orang lain. Nusuk ni ibarat ‘nyawa’ kita kat tanah suci kena jaga elok-elok. Jangan dok buat baik tak tentu hala bagi pinjam kat orang lain nanti masalah.
- Jangan buat hal sendiri saja. Bila sudah duduk sebilik, walaupun dengan jemaah yang baru kita kenal, jadikanlah kawan. Jangan dok bergaduh tetapi jangan pulak dok mengumpat berjemaah.
Itulah antara perkara yang penulis lihat ketika menunaikan haji sebelum ini, selain maklumat daripada kawan-kawan. Semoga apa yang dinyatakan tidak dilakukan oleh jemaah-jemaah haji kita. Penulis doakan semua mereka mendapat haji mabrur.
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus dosa di antara keduanya, dan Haji yang mabrur tiada balasannya melainkan syurga.” – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Inshaallah jumpa lagi dalam coretan akan datang. jika ada komen atau cerita apa-apa boleh e-mel ke editor@utusanmelayuplus.com atau zulkifleebakar@gmail.com


