JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) terus memperhebatkan tindakan penguatkuasaan menerusi operasi berskala besar di sekitar Puchong, Selangor, semalam bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menjejaki majikan degil yang terus berani menggaji warga asing tanpa dokumen dan permit kerja yang sah.
JIM melalui Facebook jabatan itu memberitahu, tindakan berkenaan dilaksanakan sebagai komitmen berterusan JIM dalam membanteras aktiviti menyalahi peraturan serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus dipelihara tanpa sebarang kompromi.
Menurut jabatan tersebut, operasi yang bermula jam 11 pagi hingga 9 malam itu dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan rapi selama seminggu berhubung aktiviti warga asing yang dipercayai bekerja secara tidak sah dalam sektor perkhidmatan merangkumi restoran, premis makanan, kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai dobi, kiosk perniagaan serta sebuah pasaraya besar.
‘’Seramai 59 pegawai JIM telah diatur gerak ke beberapa lokasi tumpuan di sekitar Puchong, Selangor melibatkan pemeriksaan ke atas 30 buah premis, 186 warga asing dan 175 warga tempatan,’’ kata kenyataan berkenaan.

Jabatan itu memberitahu, hasil pemeriksaan, seramai 74 warga asing yang terdiri dari warganegara Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, India, Pakistan dan China berumur di antara 23 hingga 45 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta lima (05) Borang 29 Saman kepada Saksi telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
‘’Modus operandi mereka terbongkar apabila terdapat aktiviti penggajian warga asing secara haram dengan berselindung di sebalik lesen perniagaan tempatan bertujuan untuk mengaut keuntungan mudah,’’ kata JIM.
Selain itu menurut JIM terdapat segelintir PATI dilihat semakin berani mencabar kewibawaan penguatkuasaan dengan membuat provokasi, enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan, cuba melarikan diri serta menggunakan pelbagai helah untuk mengaburi tindakan penguatkuasaan.
‘’Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara malah boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat setempat,’’ kata JIM.
JIM memberitahu, kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
‘’ JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas juga diambil terhadap mana-mana majikan atau pihak yang menggaji dan melindungi PATI,’’ kata jabatan berkenaan.


