Imigresen tahan tiga wanita warga asing cuba seludup masuk ke Malaysia

TINDAKAN seorang wanita warga Thailand cuba membawa masuk dua wanita warga asing secara tidak sah ke negara ini gagal apabila taktik itu berjaya dikesan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar semalam.

Kejadian berlaku jam 11 pagi ketika pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis bertugas di Kaunter Pemeriksaan Kenderaan Keluar menjalankan pemeriksaan rutin sebelum mengesan gerak-geri mencurigakan pemandu wanita terbabit yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis bernombor pendaftaran Thailand.

PEMANDU wanita warga Thailand ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika cuba menyeludup masuk dua lagi wanita warga asing di tempat duduk belakang sebuah kereta Toyota Corolla Altis di Kompleks ICQS Padang Besar semalam. GAMBAR: JIM Perlis

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan dua wanita tersebut yang dipercayai bersembunyi di bahagian tempat duduk belakang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Pengarah JIM Perlis, Mohammad A’sim Md Ali berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua wanita berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, susulan penemuan itu, seorang wanita warga Thailand yang merupakan pemandu kenderaan serta dua wanita iaitu seorang warga Myanmar dan seorang warga Vietnam ditahan untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan sebuah kenderaan Toyota Corolla Altis bernombor pendaftaran Thailand.

“Ketiga-tiganya berusia antara 27 hingga 60 tahun itu direman selama dua minggu untuk membantu siasatan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad A’sim berkata, kejayaan tersebut membuktikan tahap kecekapan dan kewaspadaan tinggi pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara dalam mengesan sebarang cubaan melanggar undang-undang imigresen.

Menurutnya, tindakan pantas pegawai barisan hadapan berjaya menghalang cubaan kemasukan warga asing tanpa dokumen sah sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JIM Perlis turut menyertai Ops Bersepadu di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer 27, Padang Besar pada Jumaat lalu yang melibatkan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.

Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 146 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Thailand dan Singapura diperiksa dan tiada kesalahan imigresen dikesan.

Pada masa sama, Bahagian Penguatkuasaan JIM Perlis terus mempergiat operasi pemantauan, pengesanan, verifikasi dan perekodan kehadiran warga asing di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img