PENYELARASAN subsidi petrol RON95 adalah pilihan terakhir kerajaan memandangkan impak ke atas rakyat.
Sehubungan itu kata Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, sebarang keputusan mengenai penyelarasan akan ditangguhkan walaupun terdapat pelbagai parameter dasar yang boleh dilaraskan.
“Petrol saya rasa memang satu isu yang banyak, sangat sensitif dan dia ada impak terus kepada poket rakyat. Jadi, saya rasa kalau pun ada penyelarasan subsidi petrol, ia akan ditolak ke belakang dahulu. Itu akan menjadi antara pilihan terakhir,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Nurshisham berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada langkah penjimatan lain, seperti memperketatkan kuota Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor logistik.
“Masa kita mulakan SKDS dahulu, kita bagi terlalu banyak. Jadi sekarang kita sebenarnya memperketatkannya (berdasarkan data pengoperasian sedia ada) dan ada penjimatan di situ,” katanya.
Sebelum ini wujud kebimbangan daripada orang ramai bahawa penyelarasan subsidi petrol akan menyebabkan subsidi BUDI95 diturunkan daripada 200 liter kepada 150 liter.
Nurhisham berkata, bekalan minyak mentah dan produk bahan api negara adalah mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai depan ekoran kelebihan strategik Malaysia yang mempunyai Petronas dan kilang penapis sendiri.
Dalam program itu, beliau berkata, pasukan petugas khas memantau rantaian bekalan makanan dan ubat-ubatan negara secara mingguan, yang disifatkannya sebagai krisis yang bergerak perlahan.
“Terdapat kira-kira 11% hingga 15% ubat yang berada pada tahap kritikal, bermakna bekalan yang berbaki adalah kurang daripada 60 hari. Tetapi kita mempunyai ubat alternatif yang boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata, bekalan barangan asas seperti ayam, telur, dan beras ketika ini masih terkawal, biarpun kos input pertanian seperti dedak import dan harga baja kekal tinggi.


