SEORANG kanak-kanak lelaki ditemukan mati lemas kira-kira 300 meter dari lokasi dilapor terjatuh ke dalam sungai.
Mangsa, Muhamad Aakif Imran Asrul Nizam, 10 tahun, ditemukan pasukan penyelamat pada jam 4.36 petang hari ni, di dasar Sungai Bernam, Kampung Sungai Nilam, Hulu Selangor.
Ketua Zon Rawang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mustakim Rimon berkata, mayat Muhammad Aakif Imran ditemukan pada berkedalaman enam meter di dasar sungai.
“Mangsa ditemui pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya dalam kenyataan.
Mustakim berkata, mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi turut melibatkan anggota dari BBP Tanjung Malim dan BBP Slim River selain Unit K9 serta beberapa pasukan sukarelawan.
“Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pejabat Daerah Hulu Selangor,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas dibawa arus deras ketika berada di Sungai Bernam berhampiran Kampung Sungai Nilam, semalam.


