Individu kes rasuah profail tinggi perlu jalani tempoh hukuman sepenuhnya – PH

PAKATAN Harapan (PH) menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.

Berikut kenyataan penuh majlis berkenaan:

Pakatan Harapan memberi dokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa. Pakatan Harapan juga menjunjung penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pernah disampaikan sebelum ini supaya setiap kes sebegini harus disiasat dengan menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa berpendirian bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah.

 Prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.

 Ini penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara. Maka, sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut.

 Beberapa kes-kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut telah memberikan kesan yang besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara.

Pakatan Harapan dibina atas dokongan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda Reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.

Amanah tersebut menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut.

Pakatan Harapan mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa yang sama kekal teguh mempertahankan prinsip Reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here