SEBARANG keputusan melibatkan kemelut istana di Negeri Sembilan perlu kembali merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan, peruntukan Perlembagaan serta adat istiadatnya yang tersendiri.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa perkara berkaitan isu berkenaan sewajarnya diserahkan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam mengenai sebarang perundangan dan adat yang terpakai.
“Saya rasa kita kena berbalik kepada Undang-Undang Tubuh Negeri, iaitu Perlembagaan negeri.
“Bagi saya, apa-apa keputusan atau apa juga perkara, kita kena kembali kepada undang-undang utama, iaitu Undang-Undang Tubuh,” katanya, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Literasi Akta Antibuli di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Azalina, Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri berbanding negeri lain, termasuk dari segi Adat Perpatih serta proses yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.
Menurutnya, beliau juga tidak mempunyai kepakaran untuk mengulas secara terperinci perkara berkaitan sistem berkenaan.
“Saya rasa biarlah orang Negeri Sembilan yang cari penyelesaian Negeri Sembilan ni. Tapi itu pandangan saya, pandangan peribadi saya, bukan dari sudut undang-undang.
“Negeri Sembilan mempunyai keunikan dari sudut perlembagaan dan adat istiadatnya. Justeru, saya percaya pihak-pihak yang lebih arif tentang perkara ini adalah yang paling sesuai untuk menelitinya bagi mendapatkan jalan penyelesaian sewajarnya” katanya lagi.
Azalina menambah, perkara yang melibatkan Perlembagaan dan adat perlu ditangani secara cermat bagi memastikan keluhuran dan kedaulatan undang-undang serta adat terpelihara.
“Saya tidak ada kepakaran. Saya rasa pun kita tidak boleh mengelirukan orang ramai. Mungkin pakar boleh komen lah,” katanya.




