Inkues murid tahun empat meninggal dunia dalam tandas sekolah: 51 saksi akan dipanggil

SEBANYAK 51 saksi akan dipanggil pada prosiding inkues punca kematian seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, Seremban pada 2 Oktober tahun lalu.

Pegawai Pengendali Inkues, Norazihah Asmuni memaklumkan perkara itu ketika disoal Koroner, Tasnim Abu Bakar mengenai jumlah saksi pada prosiding sebutan di Mahkamah Koroner di Seremban hari ini.

Norazihah memaklumkan, 51 saksi itu membabitkan guru, murid sekolah dan rakan mangsa bagi mengetahui punca kematian Iman Zhafran Abdullah yang berusia 10 tahun ketika kejadian.

Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding inkues kes berkenaan dijalankan selama tujuh hari pada 14 dan 21 September, 5, 6 dan 7 Oktober, seterusnya 21 dan 28 Oktober dengan setiap sesi bermula jam 2.30 petang.

Peguam mewakili keluarga mangsa, Muhammad Yazid Mohamad Salim memohon kepada mahkamah supaya pihaknya dan ibu bapa mangsa membuat pemeriksaan saksi.

Muhammad Yazid turut memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan penzahiran dokumen iaitu satu salinan dokumen diberikan kepada pihak peguam dan keluarga mangsa.

“Pihak kami memahami sensitiviti bahawa dokumen tersebut hanya akan berada dalam kawalan peguam dan anak guam,” katanya.

Pada prosiding hari ini, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, dan ibunya, Zuzita Murib Sagita, dilihat hadir di mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, punca kematian murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang pada 2 Oktober 2025 disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, hasil bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.19 petang 2 Oktober 2025 ketika murid terbabit sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here