POLIS mengesahkan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit kes dadah ditembak mati di kawasan perumahan Garden Homes di Seremban petang tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 1.50 petang dan maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan akan dikongsikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, esok.
“Ya, saya sahkan kejadian tersebut,” katanya hari ini, lapor Bernama.
Difahamkan lelaki berusia lingkungan 50-an itu dipercayai mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah termasuk orang dikehendaki untuk kes di bawah akta penculikan.
Terdahulu, penduduk sekitar yang mahu dikenali sebagai Ali, 72, berkata, dia berada di rumah selepas solat ketika dimaklumkan jiran mengenai kejadian berkenaan.
Menurutnya, jiran tersebut memaklumkan terdengar bunyi seperti beberapa das tembakan, namun dia tidak mendengarnya kerana berada di dalam rumah.
“Selepas itu, saya nampak banyak kereta peronda polis dan kawasan menghala lokasi kejadian ditutup dengan pita kuning, manakala kenderaan tidak dibenarkan masuk.
“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku di kawasan perumahan ini dan kami bimbang keselamatan penduduk, sekiranya kejadian seumpama ini berulang di tempat lain,” katanya.
Warga emas itu berkata kira-kira seminggu lalu, mereka turut menyedari kehadiran beberapa kereta berhampiran kawasan itu pada waktu tengah malam, sekali gus menimbulkan curiga dalam kalangan penduduk.





