POLIS menahan seorang pemandu dan empat penumpang sebuah kereta yang dipercayai terlibat dalam kemalangan maut sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) kelmarin.
Kelima-lima individu itu ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban selepas kenderaan terbabit dipercayai meninggalkan lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.40 pagi di Kilometer 9.7 arah Utara SPDH dan membabitkan sebuah motosikal Yamaha LC135 serta Proton Saga.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Saga berkenaan dipercayai melanggar motosikal terbabit sebelum pemandu kenderaan itu meninggalkan tempat kejadian.
Penunggang motosikal lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Susulan kejadian, polis menjalankan operasi pengesanan bermula jam 3.30 petang semalam hingga jam 5 pagi ini, kata beliau.
Hasilnya, menurut Mohd Yatim, pemandu Proton Saga berjaya ditahan di kawasan Bandar Seremban Selatan di Sungai Gadut.
“Siasatan mendapati terdapat empat penumpang lain di dalam kenderaan ketika kejadian. Polis kemudian berjaya mengesan dan menahan dua lelaki serta dua wanita terbabit di Muadzam Shah dan Gambang di Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita Proton Saga berwarna kelabu yang terlibat dalam kemalangan itu.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu mempunyai cukai jalan dan insurans yang sah, manakala pemandunya turut memiliki lesen memandu yang sah.
Mohd Yatim berkata, pemandu terbabit direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Katanya lagi, kesemua individu yang ditahan turut menjalani saringan awal air kencing dan keputusan menunjukkan mereka negatif daripada sebarang bahan terlarang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian, tambah beliau.





