POLIS Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan makmal haram yang memproses dadah jenis ganja dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM237,333 dalam serbuan di daerah Timur Laut, minggu lalu.
Dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 55 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan yang dijalankan jam 3 petang Jumaat sehingga 9 pagi Sabtu itu membabitkan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap suspek pertama yang ditahan di kawasan tempat letak kereta menemukan bungkusan berisi bunga ganja.
“Berpandukan kad akses yang dirampas daripada suspek, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah rumah di kawasan daerah Timur Laut dan turut melakukan rampasan peket berisi ketulan mampat dan bunga ganja.
“Turut dirampas adalah biskut dan coklat ganja, picagari dan pod vape berisi cecair ganja serta cecair kimia termasuk peralatan bagi pemprosesan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Azizee berkata, susulan penemuan itu, suspek kedua yang merupakan rakan sejenayah kemudian ditahan di satu lokasi berasingan.
Katanya, hasil risikan mendapati aktiviti pemprosesan dadah oleh ‘pembekal’ itu bergiat aktif sejak Januari lalu dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 50,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Teyrahydrocannabinol (THC) selain mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana kenderaan dan wang tunai turut disita berjumlah RM237,333,” katanya lagi.
Menurut Azizee, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


