MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di Seremban petang ini.
Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu dipercayai bermula sekitar jam 5 petang, susulan pengumuman peletakan jawatan Ismail yang dibuat menerusi kenyataan media Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir.
Bagaimanapun, tujuan sebenar pertemuan berkenaan belum diketahui setakat ini.
Kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz dilihat meninggalkan Istana Hinggap kira-kira jam 6.30 petang melalui pintu utama.
Sementara itu, kenderaan yang dipercayai membawa Ismail dikatakan keluar menerusi pintu belakang istana dan tidak sempat dirakam pihak media yang berada di lokasi, lapor Sinar Harian.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh masih belum memberikan penjelasan lanjut berhubung keputusan meletakkan jawatan itu.
Perkembangan berkenaan turut mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan beliau didesak supaya berundur daripada jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, dakwaan itu belum disahkan dan Ismail setakat ini memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenainya.
Ketika dihubungi pemberita menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ini, beliau meminta diberikan sedikit ruang dan menafikan akan mengadakan sidang media atau mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
“Maaf… tiada PC (sidang media) atau kenyataan media daripada saya. Terima kasih,” katanya ringkas.





