POLIS Johor merekodkan sembilan kes lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun menjadi mangsa samun termasuk dicederakan penjenayah dalam kejadian berasingan di bandar raya Johor Bahru sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kumpulan penjenayah itu menyasarkan kesemua mangsa menerusi aplikasi atau rangkaian sosial temu janji dalam kalangan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurut beliau, sejak Januari hingga Mei lalu, pihaknya menerima laporan polis daripada sembilan mangsa berbeza yang mendakwa disamun suspek iaitu sekumpulan lelaki warga tempatan.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku sekitar kawasan Taman Pelangi dan Kampung Majidee, Johor Bahru, membabitkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM315,220.
Beliau berkata, suspek mencari sasaran dengan menggunakan satu aplikasi dan mengajak mangsa untuk bertemu dalam kereta suspek.
“Ketika mangsa dan suspek berada dalam kereta, rakan suspek akan menyamar sebagai pengawal keselamatan kawasan itu dan mengugut mangsa dengan menuduh mangsa melakukan aktiviti tidak sopan dalam kereta di tempat awam.
“Mangsa kemudiannya dicederakan dan barang peribadi mangsa seperti kad bank, barang kemas dan wang tunai dirampas.
“Suspek mendapatkan kata laluan kad bank milik mangsa sebelum mengeluarkan wang dari akaun bank serta membuat pembelian barang kemas, kemudian mangsa akan dilepaskan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Johor Bahru hari ini.
Bertindak atas maklumat, Ab Rahaman berkata, pada jam 11.30 pagi pada 30 Mei lalu sepasukan anggota dan pegawai IPD Johor Bahru Selatan menahan lima suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun di Brinchang, Cameron Highlands.
Katanya, turut dirampas daripada suspek adalah beberapa telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza, sehelai resit pembelian emas, lima keping kad debit, empat utas rantai emas, empat pasang subang, dua bentuk cincin emas dan dua gelang tangan emas.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek memiliki rekod jenayah samun dan dadah.
“Kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan negeri Johor dan dipersetujui untuk menuduh tiga suspek bersabit tujuh kes setiap seorang di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala dua lagi suspek akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.






